Wasiat dalam Islam

Maksud

Iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas dia mati.

Dalil / Punca Kuasa

“(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya.” (Surah Al-Nisa’: 11)

Rukun Wasiat

  • Pewasiat
  • Penerima wasiat (benefisiari)
  • Harta yang diwasiat
  • Sighah (lafaz wasiat)

Syarat-syarat Wasiat

Syarat Pewasiat

  • Mencapai umur lapan belas tahun
  • Sempurna akal
  • Bertindak dengan sukarela dan tidak dipaksa
  • Tidak dihalang daripada mengurus hartanya

Syarat Penerima Wasiat

  • Diketahui dengan jelas
  • Boleh menerima harta yang diwasiatkan menurut Hukum Syarak
  • Mempunyai kelayakan untuk memiliki dan mengurus harta yang diwasiatkan

Syarat Harta Yang Diwasiat

  • Sesuatu yang boleh dijadikan harta pusaka atau boleh dijual beli
  • Sesuatu yang bernilai dan boleh dipindah milik
  • Sesuatu yang wujud dalam milikan pewasiat
  • Sesuatu yang harus dan bukan sesuatu yang haram atau maksiat

Kadar Wasiat

Pewasiat digalakkan mewasiatkan harta tidak melebihi satu pertiga. Ia berdasarkan hadis daripada Saad bin Abi Waqqas r.a. ketika Rasulullah SAW melawat beliau yang sedang sakit:

“Ya Rasulullah, bolehkah aku ingin berwasiat semua hartaku? Jawab baginda: ‘Tidak.’ Aku berkata: ‘Setengah?’ Jawab baginda: ‘Tidak.’ Aku berkata lagi: ‘Satu pertiga.’ Jawab baginda: ‘Satu pertiga dan satu pertiga itu banyak. Sesungguhnya engkau meninggalkan waris itu kaya lebih baik daripada dia meminta-minta daripada manusia dengan tangan mereka.’” (Riwayat al-Bukhari)

Wasiat kepada Waris

Jumhur fuqaha berpendapat wasiat kepada waris adalah tidak diharuskan dan wasiat hanya sah dibuat kepada bukan waris yang menerima bahagian harta di bawah peraturan faraid.

Namun, pelaksanaan wasiat kepada waris adalah bergantung kepada persetujuan dan keizinan daripada waris yang lainnya.

Isu & Persoalan Lazim

Soalan A:

Adakah anak angkat dan anak luar nikah layak menerima harta pusaka?

Anak angkat dan anak luar nikah secara rasmi bukan waris berdasarkan faraid. Jadi secara umumnya boleh pada kadar tidak melebihi 1/3 daripada harta pusaka.

Soalan B:

Adakah wasiat boleh dibatalkan?

Boleh, jika pewasiat masih hidup dia boleh mengubah isi kandungan wasiat mengikut apa yang dikehendakinya.

Soalan C:

Adakah wasiat boleh dicabar?

Boleh dicabar di Mahkamah Syariah sekiranya terdapat elemen wasiat yang tidak dipenuhi. Perlu dapatkan nasihat peguam syariah yang beramal kerana pengamal undang-undang lebih tahu selok-belok perundangan dan pendapat semasa Hakim Syarie.